Selasa, 4 Disember 2018

3 pemain skuad emas tidak ke Dubai


ARKIB : 04/01/2010
PETALING JAYA - Tiga pemain skuad bola sepak Bawah 23 tahun negara yang merangkul pingat emas pada Sukan SEA XXV bulan lalu terpaksa diketepikan untuk perlawanan terakhir Malaysia pada kempen Kelayakan Piala Asia 2011 menentang Amiriah Arab Bersatu (UAE), Rabu ini.

Di mata jurulatih negara, K. Rajagopal, Sabre Mat Abu, Mazlizam Mohamad dan Manaf Mamat terpaksa melupakan perlawanan Kumpulan C di Stadium Al Shabab Dubai.

Pelatih lain yang tidak tersenarai ke Dubai termasuk Ahmad Shakir Ali serta pemain tengah senior, Amri Yahyah kerana kecederaan lutut.

"Norhafiz Zamani Misbah dilantik mengetuai skuad negara menentang UAE. Perlawanan di Dubai saya sifatkan sebagai peluang terbaik untuk menentang lawan antarabangsa yang lebih kuat dan tinggi ranking," katanya selepas majlis penghargaan meraikan pasukan bola sepak Sukan SEA XXV di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

"Tiada jurulatih yang mahu pasukannya kalah dalam apa juga perlawanan dan pesanan saya kepada pemain, hadapilah UAE dengan keyakinan, jangan takut dan terimalah hakikat apa juga keputusan yang menanti di sana," katanya merujuk kedudukan tercorot anak buahnya dalam Kumpulan C, di belakang Uzbekistan dan UAE dalam saingan kelayakan Piala Asia.

Para majlis itu, turut berlangsung penyerahan ganjaran RM31,000 oleh FAM kepada setiap pemain yang mengakhiri kemarau 20 tahun emas bola sepak Sukan SEA di Laos, baru-baru ini.

Lapan jurulatih, penolong dan petugas sokongan, masing-masing menerima tidak kurang RM24,000.

Malaysia yang sebelum ini dibimbing oleh B. Sathianathan, dibelasah 5-0 oleh UAE pada perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur awal tahun lalu.
ArtikelPenuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5YiqpIiOe
© Utusan Melayu (M) Bhd


Norhafiz, Amri dipangil hadapi kelayakan Piala Asia


 

ARKIB : 22/12/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Mohd. Amri Yahyah menjadi pilihan utama menguatkan barisan skuad Malaysia dalam kelayakan Piala Asia bulan depan.

KUALA LUMPUR – Norhafiz Zamani Misbah dan Amri Yahyah merupakan antara tiga pemain senior yang akan dipanggil memperkuatkan skuad juara Sukan SEA Laos bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE), bulan depan.

Jurulatih negara, K. Rajagobal mengesahkan nama bek tengah KL PLUS dan pemain tengah menyerang Selangor itu disenaraikan bersama skuad bawah 23 tahunnya ke kem latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya mulai Khamis ini.

Seorang lagi pemain akan dikenal pasti dalam tempoh terdekat.

“Memandangkan mereka pernah bersama skuad ini sejak menentang Manchester United (Julai lalu) dan kelayakan Piala Asia dengan Uzbekistan (bulan lalu), tahap keserasian dan kecergasan bagi perlawanan antarabangsa kedua-duanya sudah pasti menepati.

“Sukar menilai pemain senior lain apatah lagi kita kini di luar musim liga tetapi saya memang tidak akan mengabaikan langsung sesiapa yang lain dan betul-betul bagus untuk dipanggil ke skuad negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Malaysia yang ketika ini menduduki tempat tercorot Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011, akan menghadapi UAE di Stadium Al Shabab, Dubai pada 6 Januari ini - perlawanan pelengkap jadual malah terlalu tipis untuk menyambar tiket naib juara ke pusingan akhir di Qatar.

Bagaimanapun majoriti pemain bawah 23 tahun di samping Amri dan Norhafiz, menunjukkan peningkatan permainan malah mampu menyumbat dua gol ketika dikalahkan Uzbekistan 3-1 di Tashkent dan Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 dan 18 November.

Kata Rajagobal, anak buahnya cuma akan dilepaskan dari kem latihan sebelah petang ekoran cuti am Hari Natal, Jumaat ini tetapi akan kembali menyambung persediaan bagi menghadapi UAE yang membenam skuad senior negara 5-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 21 Januari lalu.

“Sama ada cukup atau tidak, apa hendak dibuat. Itu sahaja tempoh latihan yang kami ada. Mungkin satu perlawanan persahabatan sahaja (menentang Syria, 2 Januari ini) yang dapat diatur buat pasukan negara di sini sebelum kami berlepas ke UAE,” katanya.

“Walaupun peluang kita ke pusingan akhir seperti sudah tertutup, kami akan berikan persembahan terbaik dan berhabis-habisan dalam perlawanan terakhir kumpulan ini,” katanya yang menerajui skuad bawah 23 mengakhiri kemarau emas bola sepak Sukan SEA sejak 1989, minggu lalu.

Kita memikul tugas hampir mustahil untuk menewaskan UAE dengan jaringan besar sambil mengharapkan Uzbekistan membelasah lawan Asia Barat tanpa balas selepas itu bagi mencari perbezaan gol dengan potensi tiga mata untuk layak sebagai naib juara kumpulan ke Qatar.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5Yho2uNCx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 3 Disember 2018

Hanya Amri, Norhafiz pilihan Rajagobal

 
ARKIB : 11/11/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
PETALING JAYA - Hanya Amri Yahyah dan Norhafiz Zamani Misbah menjadi dua pemain senior yang dipanggil membarisi skuad kebangsaan menghadapi perlawanan bola sepak Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 menentang Uzbekistan, Sabtu dan 18 November ini.

Khidmat ketua pemain Selangor dan bek tengah KL PLUS itu diperlukan jurulatih negara, K. Rajagobal untuk membimbing majoriti pemain bawah 23 tahun khususnya di bahagian pertahanan dan depan dalam perlawanan timbal balik itu di Tashkent dan Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Namun, tiada bersama mereka berdua seperti skuad Pilihan Malaysia yang menentang Manchester United, Julai lalu ialah ketua pasukan Kelantan, Indra Putra Mahayuddin yang turut menjaringkan gol sagu hati menerusi sepakan percuma pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Turut dinamakan ialah tiga pemain Negeri Sembilan, juara Piala Malaysia 2009 - Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak dan S. Kunanlan dan agak pelik ialah tiadanya penjaring gol awal yang bermain cemerlang dalam perlawanan akhir itu, Shahurain Abu Samah.

Dalam senarai yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam, Rajagobal dilihat cuba membuat kejutan dengan meletakkan Amri sebagai penyerang di samping Zaquan, Norshahrul Idlan Talaha (UPB-MyTeam), Razali Umar Kandasamy (Perak) dan Ahmad Fakri Saarani (Perlis).

Pemilihan kali ini dianggap sebagai peluang pendedahan perlawanan sebenar buat skuad bawah 23 tahun yang bakal menghadapi Sukan SEA Laos, Disember ini setelah peluang Malaysia untuk melepasi Kelayakan Piala Asia 2011 seperti agak samar sejak dibelasah Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 5-0, Januari lalu.

Kecuali Norhafiz, Aidil, Zaquan dan penjaga gol Syed Adney Syed Hussein, sebahagian besar pemain senior skuad berkenaan juga tidak dinamakan semula dalam senarai kali ini antaranya Safee Sali, Hairuddin Omar, Hardi Jaafar, Syamsuri Mustafa dan pemenang Kasut Emas Liga Super 2009, Nizaruddin Yusof.

Malah, rekod tiga perlawanan antarabangsa pada 1994 dan 1999 menyaksikan kita sentiasa dibelasah Uzbekistan 5-0 dan 3-0 selain 5-0 di peringkat Kumpulan C pusingan akhir Piala Asia 2007 di Bukit Jalil sehingga mendorong Timbalan Presiden FAM ketika itu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meletakkan jawatan.

Namun, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad melahirkan keyakinan bahawa anak buah Rajagopal masih mempunyai peluang ke pusingan akhir biarpun turut berdepan dengan masalah penyesuaian diri dengan cuaca sejuk di Stadium JAR, Tashkent yang dikatakan mencapai paras 10 darjah Celsius.

"Mereka bagaimanapun mesti menang dalam perlawanan ini untuk terus berjuang ke pusingan akhir," katanya sambil menambah bahawa tiket perlawanan Malaysia-Uzbekistan di Stadium Nasional pada pukul 5.30 petang 18 November ini dijual dengan harga RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak.

Kelmarin, skuad bawah 23 tahun ini menunjukkan prestasi membanggakan dengan menewaskan lawan sebaya Indonesia 3-1 dalam satu perlawanan persahabatan di Palembang, Sumatera.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5YcM9vxNa
© Utusan Melayu (M) Bhd