ARKIB : 10/09/2000
NEGERI Sembilan yang turun bermain tanpa sebahagian besar pemain utamanya
berjaya menewaskan Johor dengan jumlah jaringan yang besar 6-2 di Stadium
Larkin, semalam.
Walaupun Negeri Sembilan telah menempat tiket ke perlawanan suku akhir
Piala Malaysia, pasukan itu menunjukkan permainan menarik dengan mengasak ke
kubu lawan sehingga berjaya berkenduri gol di tempat lawan.
Jengking mengejutkan Negeri Sembilan seawal minit ke-6 melalui Rezal
Zambery Yahya yang menanduk cantik bola hantaran Meor Shamsul Kamal lalu
menewaskan penjaga gol, Mohd. Yazid.
Negeri Sembilan tidak berputus asa malah mengasak bertubi-tubi ke kubu
lawan untuk menyamakan kedudukan.
Hasilnya, pada minit ke-15, Mohd. Nor Sheikh Ibrahim membuat tendangan
percuma cantik melepasi jangkauan penjaga gol Johor, Othman Katmon.
Johor yang tidak mengaku kalah sekali lagi mendahului Negeri Sembilan pada
minit ke-27, melalui Meor Shamsul Meor Kamal yang membuat tendangan deras ke
pintu gol selepas mendapat hantaran cantik daripada Liew Kim Tu.
Khairul Anuar menghukum Johor pada minit ke-39, dengan menanduk masuk ke
dalam gawang yang ternganga luas, selepas penjaga golnya, Othman Katmon
melakukan kesilapan kerana gagal menangkap dengan kemas bola hantaran Efendi
Abd. Malek.
Efendi Abd. Malik menambah derita Johor apabila menendang masuk dengan
mudah ke dalam gawang setelah menerima hantaran cantik daripada K. Rajan di
dalam kotak penalti Jengking lalu menewaskan penjaga gol, Othman.
Khairul Anuar sekali lagi menambah koleksi gol pada minit ke- 47 dengan
membuat satu tendangan yang cukup cantik daripada penjuru kanan pintu gol Johor
tanpa diduga oleh penjaga gol Johor, Othman.
Mohd. Saiful Sabtu membuatkan penyokong Johor terdiam seketika apabila
rembatan dari jarak jauhnya dari luar kotak penalti berjaya menewaskan penjaga
gol, Othman pada minit ke-60.
Noor Isham Ismail menambat luka Johor di tempat sendiri apabila menambah gol
pada minit ke-82 apabila merembat deras ke pintu gol lalu menewaskan penjaga
gol, Othman.
JOHOR: Othman Katmon, Ismail Suboh, Rizal Sukiman, Roslan Hamid, Liew Kim
Tu (Jasmi Mohamad), Baktiar Othman (R.Saravanan), Azmil Azali, N. Sutesh, Mohd.
Zakir Othman, Rezal Zambery Yahya dan Meor Shamsul Meor Kamal (Eddy Helmi Abd.
Manan).
NEGERI SEMBILAN: Mohd. Yazid, Khairul Anuar, K. Rajan, Ching Hong Aik, Azmi
Mohamed, Mohd. Saiful Sabtu, Leong Hong Seng (Salim Khamis), Khairun Halied
Masrom (Norhafiz Zamani), Fairuz Salleh, Mohd. Nor Sheikh Ibrahim dan Efendi
Abd. Malek (Noor Isham Ismail)
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4b0UQ2nQa
© Utusan Melayu (M) Bhd