ARKIB : 08/08/2011
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Pemain Selangor, Mohd. Hardi Jaafar (depan)
mematahkan gerakan Safee Sali pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam,
kelmarin. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH
KUALA LUMPUR - Bagi skuad negara, ia umpama sekadar
memenuhi jadual latihan pusat tetapi bagi Selangor, aksi persahabatan di
Stadium Shah Alam, kelmarin mampu memusatkan semula perhatian dan semangat
pasukan menjelang Piala Malaysia, 6 September ini.
Anak buah Datuk K. Rajagobal yang gagal melepasi
Singapura dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014, baru-baru ini, tewas
dengan jaringan tunggal penyerang Selangor, Rudie Ramli menerusi rembatan kaki
kiri separuh voli dari luar petak penalti.
Pelbagai gandingan pemain termasuk yang kembali
dipanggil ke kem Wisma FAM sejak Rabu lalu, dicuba menentang barisan bimbingan
K. Devan seperti Farizal Marlias, Norhafiz Zamani Misbah, Mohamad Azmi Muslim
dan Khyril Muhymeen Zambri mahupun Joseph Kalang Tie.
Kata Rajagobal: "Ada pemain yang sekadar mampu
bermain pada peringkat liga dan ada yang dipanggil semula selepas baru pulih
daripada kecederaan, memerlukan lebih banyak masa dan pendedahan perlawanan
untuk mendapatkan balik prestasi sebenar mereka.
"Tidak perlu panik (dengan kekalahan tipis
kepada pasukan ketiga terbaik Liga Super 2011). Tujuan perlawanan ialah menguji
pemain dan gandingan mereka dan menilai kemampuan tertentu. Ada juga yang
dipanggil kembali itu memuaskan hati saya," katanya.
Rajagobal juga tidak dapat memastikan sama ada dia
sudah beroleh lawan gantian bagi mengisi jadual latihan pusat dari 3 hingga 15
Ogos ini, selepas dua perlawanan persahabatan dengan Oman, Rabu ini dan
Indonesia, minggu depan, dibatalkan atas sebab tertentu.
Sementara itu, pengurus pasukan baru Selangor,
Datuk Hamidin Amin berkata, ia tetap satu suntikan semangat yang dicari-cari
buat Gergasi Merah biarpun hanya menerusi perlawanan persahabatan pertama
pramusim Piala Malaysia 2011.
Merah Kuning yang melepaskan tonggaknya, Safiq
Rahim, Amirulhadi Zainal dan Asraruddin Putra Omar ke skuad negara kelmarin,
berdepan laluan yang lebih mudah apabila diundi dengan Kuala Lumpur, T-Team dan
Polis Diraja Malaysia dalam Kumpulan D Piala Malaysia.
Selangor yang kemarau gelaran musim ini setelah
sekadar meraih tempat ketiga Liga Super dan terkandas pada separuh akhir Piala FA,
turut mengatur enam lagi perlawanan persahabatan sepanjang Ramadan ini dengan
kebanyakannya di Lembah Klang sahaja
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5falD4tIP
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan