Jumaat, 18 Januari 2019

Norhafiz janji curah pengalaman


ARKIB : 05/11/2010

KUALA LUMPUR - Merupakan pemain paling veteran dalam skuad bola sepak kebangsaan, Norhafiz Zamani Misbah berjanji akan mencurahkan segala pengalaman yang ada untuk membantu skuad muda Malaysia pada Sukan Asia Guangzhou, 12-27 November ini.

Pemain berusia 29 tahun itu mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak antarabangsa sejak beraksi bersama skuad kebangsaan pada 2001. Malah, Norhafiz juga adalah ketua pasukan Sukan Asia 2006 Doha.

''Persaingan di kalangan pemain senior untuk merebut tiga slot sebenarnya terlalu sengit dan saya tidak terlalu mengharap untuk dipilih, selain saya, Safee Sali, Ashaari Samsudin, Mohd. Amirulhadi Zainal, S. Kunanlan dan Norshahrul Idlan Talaha turut merebut tempat.

''Namun dengan kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih (K) Rajagobal, saya akan mencurahkan segala pengalaman yang ada untuk membantu pasukan negara semampu yang boleh.

''Saya dapat lihat kematangan dalam permainan yang ada pada skuad muda negara, malah kebanyakan mereka sering memberi saingan kepada senior untuk merebut tempat dalam kesebelasan skuad utama. Kita perlu meletakkan keyakinan dengan tenaga muda selepas kehilangan sembilan pemain ekoran kecederaan,'' ujar Norfafiz.

Kali terakhir bekas pemain KL Plus itu beraksi bersama Malaysia ialah pada 7 Januari lalu ketika tewas 1-0 di tangan UAE pada kelayakan Piala Asia.

Sejak detik itu, Norhafiz tidak dipanggil lagi buat sementara waktu dalam usaha Rajagobal memantapkan skuad Bawah 23 tahun negara sehinggalah namanya kembali mendapat tempat pada 18 Oktober lalu untuk hadir ke kem latihan skuad kebangsaan.

Selain Norhafiz, beberapa pemain lain yang turut beraksi di bahagian pertahanan tengah ialah Nasriq Baharom dan dua pemain Harimau Muda, Muslim Ahmad dan Faizal Muhammad. Anak jati Negeri Sembilan itu melaungkan keyakinan bahawa ramai pemain muda negara yang terdiri berasal dari skuad Harsudah bersedia menggalas cabaran besar di Sukan Asia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz5cxr5uwfo
© Utusan Melayu (M) Bhd

3 pemain senior lengkap skuad ke China


ARKIB : 04/11/2010
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 PETALING JAYA - Teka-teki tiga pemain senior yang bakal dibawa jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal ke Sukan Asia Guangzhou terjawab selepas Norhafiz Zamani Misbah, S. Kunanlan dan Norshahrul Idlan Talaha melengkapkan senarai 20 pemain.

Menurut Rajagobal, masalah kecederaan pemain terutama sekali di bahagian pertahanan menjadi sebab utama mengapa dia memilih Norhafiz untuk dibawa ke Sukan Asia sekali gus melantik pemain KL Plus itu sebagai ketua pasukan.

"Bagaimanapun kami tetap optimis dan saya mahu pemain terus mempamerkan aksi meyakinkan dalam setiap perlawanan di Guangzhou nanti, seterusnya melakukan perkara yang sama dalam Kejohanan AFF pada Disember ini," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran jersi baru skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Jelasnya, ketiga-tiga pemain senior yang bakal beraksi nanti juga dipilih melalaui senarai 30 pemain yang didaftarkan dalam skuad kebangsaan.

"Saya tidak mahu menjadikan jadual yang padat sebagai satu sebab mengapa pemain mudah mengalami kecederaan, sebaliknya pemain juga perlu mempunyai tanggungjawab untuk menjaga diri sendiri," kata Rajagobal yang juga tidak dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Radzak yang dibelenggu kecederaan lutut.

Ditanya mengenai kesebelasan pemain yang bakal diturunkan menjelang perlawanan pertama menentang Kyrgyzstan, Isnin depan, bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu berkata, dia tidak menganggap 11 pemain sahaja yang perlu diharapkan dalam misi ini, sebaliknya kesemua 20 pemain adalah penting.

"Saya mahu mereka pergi ke sana (Guangzhou) beraksi sebaik mungkin tanpa ada perasaan takut, walaupun bakal berdepan China dan Jepun dalam saingan peringkat kumpulan, kita tidak seharusnya beraksi secara defensif.

"Secara berterus-terang saya katakan persiapan ke Sukan Asia tidak mencukupi bagaimanapun kita harus menerimanya dan bukan menjadikannya sebagai satu alasan," kata Rajagobal.

Selain Aidil, skuad kebangsaan kehilangan pemain tengah Selangor, Bunyamin Omar, Zaquan Adha Abd. Radzak, Mohd. Sabre Mat Abu, Baddrol Bakhtiar, Mohd. Nasriq Baharom, Farizal Marlias, Mohd. Sharbinee Allawee Ramli dan Azmi Muslim.

"Saya tidak mempunyai banyak maklumat mengenai Kyrgyzstan tetapi corak permainan mereka sudah pasti sama seperti negara Eropah yang menggunakan kelebihan fizikal, sementara China dan Jepun kita sudah tahu tentang corak permainan mereka," katanya.

Malaysia akan menentang Jepun pada perlawanan kedua pada 10 November ini sebelum bertemu China pada 13 November.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5cxkQ7gsv
© Utusan Melayu (M) Bhd