Sabtu, 23 September 2017

BRUNEI 1-3 PAHANG



DPMM Brunei tewas di tempat sendiri manakala pasukan tangga ketiga, Perlis hanya mencatat keputusan seri, semalam.

Ternyata kekalahan 1-3 DPMM Brunei kepada Pahang di Stadium Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan membuka kembali persaingan merebut kejuaraan liga.

Pemain pertahanan Pahang, Norhafiz Zamani Misbah melakukan hatrik pada minit ke-28, 32 dan 84 sebelum tuan rumah memperoleh gol saguhati menerusi Shahrazain Said pada minit-minit akhir permainan.

Perlis pula hanya mampu seri 2-2 dengan Negeri Sembilan dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban.

Gol Perlis dijaringkan Mohd. Hardi Ahmad (m-17) dan Philemon Chipeta (m-85) manakala gol NS Naza kedua- duanya disumbang pemain import, Fredrico de Castro (m-24, 57).

Di Stadium Sarawak, hasrat tuan rumah untuk mencari kemenangan sulung terus tidak kesampaian apabila seri 1-1 dengan Selangor.

Sementara Sharlei Miranda melakukan hatrik untuk membantu Terengganu membelasah Pulau Pinang 3-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah,Kuala Terengganu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0419&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4tXiNvKUA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 16 September 2017

Malaysia hanya mampu seri


 

ARKIB : 24/01/2007
Malaysia hanya mampu seri
Oleh: AMRAN MULUP
PENYERANG negara, Mohd. Nizaruddin Yusuf (kanan) dikepung empat pemain Singapura dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Shah Alam, malam tadi. – Gambar IZHAM JAAFAR.

SHAH ALAM – Tuah bermain di gelanggang sendiri tidak memihak kepada skuad Malaysia apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 bertemu penyandang juara, Singapura dalam saingan separuh akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Asean di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan seolah-olah mengamit buat Malaysia apabila sepakan lencong kaki kiri Muhammad Hardi Jaafar pada minit ke-57 menerjah penjuru kanan pintu gol Singapura tetapi penjaring terbanyak kejohanan, Mohd. Noh Alam Shah memadamkan peluang itu dengan jaringan penyamaan ketika perlawanan berbaki 17 minit hendak ditamatkan.

Tugas berat kini menanti anak didik jurulatih Norizan Bakar untuk merealitikan impian layak ke akhir buat kali kedua selepas 1996 apabila berdepan Singapura pada saingan separuh akhir kedua di Stadium Nasional, Sabtu ini.

Walaupun peluang Malaysia tampak sukar bertandang ke tempat lawan hujung minggu ini, namun pujian seharusnya diberikan kepada kesebelasan utama yang diturunkan kerana mempamerkan aksi paling menarik yang sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh peminat bola sepak negara.

Sepanjang tempoh 90 minit babak berlangsung menyaksikan betapa barisan pemain kebangsaan beraksi mati-matian dan keputusan seri 1-1 dianggap adil buat kedua-dua pasukan.

Di hadapan kira-kira 35,000 jelas terhibur dengan corak permainan yang cukup menyakinkan dengan penguasaan penuh milik Malaysia tetapi tuah untuk mengamit kemenangan tidak memihak kepada kita.

Sebaik babak bermula Malaysia lebih awal mengasak dan menguasai pentas saingan sepanjang tempoh 15 minit babak berlangsung sambil Singapura tampak bermain secara bertahan.

Situasi itu membolehkan gandingan K. Nanthakumar, Muhammad Shukor Adan, Muhammad Hardi Jaafar dan Eddy Helmi Manan mengemudi bahagian tengah mencipta beberapa peluang buat gandingan Nizaruddin Yusof dan Hairuddin Omar sering mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.

Peluang terbaik hadir milik Malaysia pada minit ke-25 apabila sepakan percuma Hardi dari jarak 25 meter memaksa penjaga gol Singapura, Lionell Lewis merebahkan badan menepis keluar sepakan tersebut.

Asakan tersebut menyemarakkan semangat anak didik jurulatih Norizan Bakar apa lagi mendapat sokongan kira-kira 35,000 penonton untuk terus memberi tekanan ke atas pelawat.

Namun serangan pantas Singapura hampir-hampir mencipta jaringan jika tidak kegopohan penyerang terbanyak pelawat Mohd. Noh Alam Shah sekadar menyepak lemah walaupun ketika itu berdepan dengan penjaga gol Malaysia, Mohamad Syamsuri Mustafa pada minit ke-40.

Seminit selepas itu giliran Malaysia mencipta peluang tetapi dihampakan oleh sepakan liar Muhammad Shukor ke sebelah kiri tepi gol Singapura.

Buat menambah sengat di jentera serangan Norizan mengeluarkan penyerang veteran Nizaruddin dan membawa masuk Sanramsak Kram di babak kedua.

Namun seminit babak kedua bermula Singapura hampir-hampir memecah kebuntuan jaringan gol namun sepakan Indra Shahdan Daud tidak menepati saaran walaupun berdepan dengan Mohamad Syamsuri.

Pada minit ke-55 jaringan awal nyaris tercipta milik Malaysia tetapi Lewis nyata lebih tangkas menyelamatkan sepakan Muhammad Shukor di hadapan pintu gol pelawat.

Dua minit selepas itu Stadium Shah Alam gamat dengan pekikan sorakan penyokong Malaysia apabila Muhammad Hardi mencipta jaringan tercantik mengejutkan kesebelasan Singapura.

Dari jarak 30 meter Hardi melepaskan sepakan lencong dari sebelah kiri terus menuju ke penjuru pintu gol Singapura tanpa dapat diselamatkan oleh Lewis.

Bagaimanapun Singapura berjaya mengikat kedudukan 1-1 apabila penjaring terbanyak mereka Mohd. Noh Alam Shah menanduk masuk gol tersebut pada minit ke-73.

Singapura beraksi dengan 10 pemain apabila ketua pasukan Aide Iskandar dilayangkan kad merah oleh pengadil Wan Da Xue dari China kerana melewat-lewatkan permainan.

MALAYSIA: Mohamad Syamsuri Mustafa, Mohd. Fauzi Nan, Mohd. Khaironnisam, Norhafiz Misbah Zamani, V. Thirumurugan, Muhammad Shukor Adan, Hardi Jaafar, K. Nanthakumar, Eddy Helmi Manan, Hairuddin Omar, Mohd. Nizaruddin Yusof (Saramsak Kram).

SINGAPURA: Lionel Lewis, Aide Iskandar, Mohd. Isa Abdul Halim, Shi Jia Yi, Indra Shahdan Daud, Mohd. Hafiz Osman, Daniel Mark Bennett, Mohd. Khairul Amri, Mohd. Noh Rahman, Precious Emuejeraye, Mohd. Noh Alam Shah

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4spHZlZZs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 9 September 2017

Sukan Asia, B23 asah taring



ARKIB : 22/11/2006

KUALA LUMPUR – Mengakui skuadnya bebas daripada tekanan, Norizan Bakar merasakan pasukan bawah 23 negara mampu menunjukkan taring pada Sukan Asia Doha Disember ini.

Malah, ketua jurulatih skuad bola sepak negara itu yakin pasukan bimbingannya mampu membuktikan sesuatu kepada peminat apabila temasya di ibu negara Qatar itu tamat.

“Semua orang sudah tahu kami akan ke Doha tanpa tekanan. Realitinya dalam keadaan sekarang saya yakin kita boleh pergi jauh,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam, selepas mengumumkan senarai 20 pemain negara yang akan ke Sukan Asia.

Keyakinan Norizan, yang membawa skuad negara menang gangsa Sukan SEA di Filipina dua tahun lalu, juga bersandarkan bahawa anak-anak buahnya sudah cukup berpengalaman di peringkat antarabangsa sekali pun masih di usia muda.

“Walaupun mereka masih di bawah usia 23 tahun, tetapi mereka tahu apa yang negara kita harapkan daripada mereka.

“Mereka sudah tahu bagaimana untuk menghadapi perlawanan antarabangsa. Ini termasuk pemain bawah 20 tahun, Mohd. Khyril Muhaymeen Zambri dan Safiq Rahim, telah mengharungi banyak perlawanan persahabatan dan kejohanan antarabangsa.

“Tetapi, matlamat utama kami ialah mahu bermain sebaik mungkin. Sasaran ini akan dibantu oleh faktor bahawa pasukan kita tidak dihantui sebarang tekanan,” ujar beliau.

Sukan Asia membenarkan tiga pemain dari skuad senior untuk disenaraikan, justeru Norizan mengharapkan ketua pasukan Norhafiz Zamani Zamani Misbah dan rakannya di bahagian pertahanan Muhamad Khaironnisam Shahabuddin Hussain serta penyerang Hardi Jaafar dapat menjalankan tanggungjawab mereka membimbing rakan-rakan muda mereka apabila beraksi dalam keadaan terdesak.

‘‘Selain itu, pengalaman luas penyerang Pahang, Mohd. Fadzli Saari yang masih berusia di bawah 23 tahun tetapi telah menjadi anggota tetap skuad senior sejak di bawah kendalian Alan Harris, juga dipertanggungjawabkan untuk menyatukan pasukan apabila diasak oleh pasukan lawan,’’ kata Norizan.

Skuad negara yang mara ke pusingan kedua secara automatik setelah menjadi pasukan pilihan ketika undian awal, berada dalam Kumpulan E bersama-sama Oman, China dan berkemungkinan Iraq yang dilihat memiliki kemampuan melepasi pusingan kelayakan.

“Kita akan menghadapi tiga pasukan yang kuat di peringkat awal. Oman mempunyai beberapa pemain yang beraksi dalam Liga Perdana England, China dilatih oleh bekas jurulatih skuad Piala Dunia Ghana manakala Iraq, yang berkemungkinan layak dari pusingan kelayakan, juga kuat walaupun negara mereka masih berperang.

“Tetapi saya yakin pasukan kita boleh melakukan sesuatu. Saya percaya pemain-pemain akan memberikan komitmen 100 peratus.

“Kita akan pergi dengan keghairahan (untuk menunjukkan kemampuan) dan semangat membara,” katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sEL6aFlv
© Utusan Melayu (M) Bhd