Ahad, 17 Disember 2017

Norhafiz kapten pertemuan UAE

ARKIB : 20/01/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
 
NORHAFIZ Zamani Misbah (empat dari kiri) giat menjalani latihan dengan rakan sepasukan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam, menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia 2011 dengan UAE esok. - MOHD. NAZUDEEN MAHMUD

PETALING JAYA - Norhafiz Zamani Misbah disahkan sebagai ketua pasukan baru skuad negara bagi menghadapi Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan bola sepak Kelayakan Piala Asia 2011, esok, menggantikan Shukor Adan.

Jurulatih negara, B. Sathianathan turut merombak bahagian tengah dengan menempatkan Hardi Jaafar dan Indra Putra Mahayuddin di posisi tetap Shukor dalam aksi sulung Kumpulan C di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu.

Selain mereka, skuad negara bakal menyaksikan kepulangan Syamsuri Mustafa sebagai penjaga gol utama selepas hampir dua tahun diketepikan kerana masalah prestasi dan disiplin untuk mengisi tempat Helmi Eliza Elias yang tidak dipilih kali ini.

"Salah satu tujuan saya memanggil Syamsuri semula adalah untuk memperkuatkan semula gawang kita setelah Helmi mengalami kemerosotan prestasi sejak Piala Suzuki AFF dan saya dapati, dia memang berhak kembali di situ.

"Selebihnya saya masih mengkaji kesesuaian siapa yang bakal bermula sebagai bek kanan dan kiri di antara Daudsu Jamaludin, V. Thirumurugan, Shafizan Hashim dan Fauzie Nan," katanya selepas sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Sayap kanan Malaysia masih menjadi milik Amirulhadi Zainal manakala Khyril Muhymeen Zambri bakal mendukung peranan di sebelah kiri untuk mengumpan kepada gandingan serangan Zaquan Adha Radzak dan Safee Sali.

Namun malang menimpa skuad negara apabila bakal turun dengan pilihan penyerang simpanan yang terhad berikutan kecederaan mengejut yang menimpa Nizaruddin Yusof dan Norshahrul Idlan Talaha sekali gus menggugurkan mereka daripada senarai 18 terbaik esok.

"Saya cuma ada 21 pemain sehingga kini kerana masalah buku lali dan urat pelipat lutut kedua-duanya selain Shukor, Nor Farhan Muhammad dan Rosdi Talib yang sudah tercedera sejak dipanggil," katanya.

Mengenai UAE, kata Sathianathan, mereka turut membuat persediaan tambahan dengan mengkaji rakaman video aksi terbaru mereka ketika kejohanan Piala Teluk menentang Arab Saudi, Yemen dan Qatar yang berakhir di Oman, minggu lalu.

"Saya turut mendapat maklumat tambahan daripada seorang sahabat di Dubai serta Hatem Soussi yang melatih sebuah kelab di sana (bekas jurulatih Olimpik 2000 Malaysia)," katanya.

Sementara itu, Norhafiz mengakui rentak pasukan negara bakal berlainan sedikit tanpa Shukor kali ini tetapi menuntut rakan sepasukan memberikan tumpuan dalam memastikan kemenangan berpihak kepada mereka.

"Saya fikir kita wajar memenangi perlawanan ini kerana mempunyai kelebihan tempat sendiri dan sebagai penyala semangat dan keyakinan untuk menghadapi kelayakan seterusnya," katanya.

Menurut bek tengah KL PLUS ini, UAE sepanjang pengalamannya di peringkat antarabangsa, memiliki pemain yang berkemahiran baik, lincah dan bersaiz besar tetapi berharap skuad negara mampu mengurangkan kesilapan. yang tidak sepatutnya," katanya.

Kongsi Konten di :
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz51W3nptWY

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 14 Disember 2017

KL PLUS yakin kemampuan Norhafiz


 

ARKIB : 27/12/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
pengalaman dan tahap profesional yang dimiliki Norhafiz Zamani Misbah mampu membantu rakan sepasukan untuk membawa kecemerlangan musim depan.

KUALA LUMPUR - Walaupun gagal membawa Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki di Phuket, jurulatih KL PLUS, Mat Zan Mat Aris tetap yakin dengan kemampuan pertahanannya Norhafiz Zamani Misbah.

Menurutnya, pengalaman dan tahap profesional yang dimiliki Norhafiz mampu untuk membantu rakan-rakan seterusnya membawa kecemerlangan kepada pasukan.

''Dia (Norhafiz) seorang pemain yang profesional saya tidak rasa kesan dari kegagalan skuad kebangsaan dalam pada Kejohanan Piala AFF Suzuki akan mempengaruhi permainannya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, Norhafiz cepat menyesuaikan diri bersama rakan-rakan yang lain walaupun baru turun menyertai latihan selepas sibuk dengan persiapan skuad kebangsaan sebelum ini.

''Saya lihat Norhafiz memahami corak latihan dengan cepat berikutan pengalaman yang dimilikinya bermain bersama pasukan Negeri Sembilan, Pahang dan pasukan kebangsaan.

''Bagaimanapun tugasan ketua pasukan setakat ini masih digalas pemain pertahanan, Mohd. Hairul Nizam Haniff,'' kata Mat Zan.

Bekas pemain Kuala Lumpur itu berkata, kehadiran Norhafiz tidak berjaya disertai oleh seorang lagi pemain kebangsaan, Irwan Fadzli Idrus selepas pemain itu masih lagi bergelut dengan masalah kecederaan.

''Irwan tidak akan beraksi pada awal musim ini selepas mengalami kecederaan di bahagian buku lali ketika di Piala Cabaran Grand Royal di Myanmar November lalu.

''Bagaimanapun tempatnya mungkin akan diganti pemain lain seperti Mohd. Abdul Aziz Ismail atau Mohd. Zaidi Ahmad,'' katanya.

Namun bekas jurulatih Kuala Lumpur dan Terengganu itu berpuas hati dengan pasukannya selepas menyertai beberapa kejohanan persahabatan di sini dan Terengganu baru-baru ini.

''Saya sudah mendapatkan pasukan yang mantap secara kasar dengan mengharapkan sentuhan penyerang Amir Shahreen Mubin bersama dan Wan Mohd Hoesne Wan Ibrahim merobek pertahanan lawan.

''Saya boleh menganggarkan kami tidak mempunyai masalah di semua bahagian kerana mempunyai pemain yang mencukupi termasuk pemain bawah 20 tahun,'' katanya.

Hari ini KL PLUS akan mengadakan perlawanan persahabatan terakhir menentang pasukan baru dari Liga Perdana, Sinar Dimaja Mai Sarah sebelum memulakan kempen musim 2009 menentang Kelantan di Kota Bharu 3 Januari ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz51FM2Ok00

© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 11 Disember 2017

Cerita sedih

ARKIB : 26/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD DAN FERZALFIE FAUZI
 
Pemain-pemain Vietnam meraikan kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka manakala pemain Malaysia sugul selepas tewas 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi

KUALA LUMPUR – Malaysia gugur pada halangan terakhir dalam usaha mempertahankan kejuaraan bola sepak Pestabola Merdeka apabila dikejutkan oleh skuad belia Vietnam 6-5 menerusi sepakan penentuan penalti setelah terikat tanpa jaringan termasuk dalam masa tambahan.

Kekalahan yang mencalarkan maruah ini turut mencetuskan keraguan sama ada skuad negara bimbingan B. Sathianathan mampu menggalas cabaran pada Kumpulan B Piala Suzuki AFF di Thailand, Disember ini yang turut disertai skuad senior negara Indochina itu.

Di depan hampir 50,000 penonton perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil termasuk hampir 1,000 warganegara asing itu, skuad pelawat bimbingan Mai Duc Chung membawa pulang trofi kejohanan edisi ke-40 itu selain ganjaran RM35,000 selaku juara.

Tuan rumah yang menguasai daripada 90 minit masa sebenar sehingga 120 minit kesemuanya, terpaksa menyerah dengan sepakan penalti bek tengahnya, Norhafiz Zamani Misbah yang ditepis penjaga gol lawan, Bui Tan Truong.

Mai Tien Thanh pula memastikan kejuaraan milik Vietnam dengan menyudahkan sepakan keenam yang mencairkan kekebalan penjaga gol Malaysia, Helmi Eliza Elias setelah mengharungi tiga perlawanan tanpa bolos menentang Nepal, Sierra Leone dan Myanmar.

Kali terakhir Vietnam yang ketika itu bergelar Vietnam Selatan menjuarai Pestabola ialah pada 1966 dengan menewaskan Burma 1-0.

Minit ketiga menyaksikan sepakan sudut Hardi Jaafar dari sebelah kanan, berjaya dikuis keluar penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong untuk melegakan seketika kubu skuad Bawah 22 Tahun negara Indochina itu.

Enam minit kemudian, Harimau Malaya terus mengganas menerusi rembatan kencang bek tengah Aidil Zafuan Radzak yang cuba naik membantu sejauh 30 meter yang tersasar beberapa inci dari tiang gol Vietnam.

Gawang Vietnam tidak mampu menahan gelora asakan anak didik B. Sathianathan sehingga dibocori dengan tolakan kaki kanan Indra Putra Mahayuddin namun gol pada minit ketujuh itu tidak dikira kerana ofsaid.

Skuad negara kembali menguji Tan Truong pada minit ke-27 dan 29 menerusi tandukan ketua pasukan, Shukor Adan dan penjaring utamanya, Safee Sali secara berturut-turut namun tidak juga mampu menewaskannya.

Nasib Malaysia masih tidak berbeza ketika Safee yang sempat mencuri bola, melakukan larian solo dengan rembatan leretnya untuk menggerunkan seketika Vietnam pada minit ke-32, sekadar tersasar sedikit daripada sasaran.

Setelah sekian lama penjaga gol, Helmi Eliza Elias bersantai, ujian sulung Vietnam muncul menyapanya pada minit ke-49 menerusi rembatan deras Hoang Dinh Tung tetapi terlalu tinggi dari gawang Malaysia.

Giliran Irwan Fadzli Idrus pula mencuba nasib terhadap Vietnam pada minit ke-65 dengan rembatan kencang jarak jauhnya dan Tan Truong seperti tidak kenal penat dan jemu, terus menafikan setiap serangan tuan rumah.

Kekangan kemas benteng Vietnam turut menarik perhatian tetapi sedikit pertengkaran di luar padang dengan pengadil, Chaiya Alee Mahapab dari Thailand tidak ketinggalan mewarnai aksi di padang pada minit ke-71.

Gara-gara mempertikaikan keputusan pengadil setelah berlaku satu insiden terhadap pemain Vietnam yang tercedera, seorang pegawai pasukan pelawat dikenakan kad merah dan diusir daripada bangku simpanan.

Permainan kekal tanpa jaringan sehingga 90 minit masa sebenar namun Hairuddin Omar yang masuk menggantikan Zaquan Adha Radzak, sempat merembat leret ke sebelah kanan gawang Vietnam dan diselamatkan Tan Truong, seminit kemudian.

Pada minit ke-105, skuad negara beroleh sepakan bebas beberapa meter dari petak penalti Vietnam tetapi percubaan Indra masih tidak mampu memecahkan kebuntuan jaringan apabila mudah disambut oleh Tan Truong.

Gol penting yang dicari-cari Malaysia nyaris dapat ditemui dua minit kemudian daripada rembatan pemain gantian, Khyril Muhymeen Zambri yang hanya terkeluar beberapa inci sekalipun dapat menewaskan penjaga gol lawan.

MALAYSIA: Helmi Eliza Elias, Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak (Hairuddin Omar), Safee Sali, Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Daudsu Jamaluddin, Hardi Jaafar (Ashaari Shamsuddin), Irwan Fadzli Idrus, Amirulhadi Zainal (Khyril Muhymeen Zambri).

VIETNAM: Bui Tan Truong, Nguyen Thanh Long Giang, Pham Minh Duc, Nguyen Tang Tuan (Trinh Quang Vinh), Hoang Nhat Nam, Hoang Dinh Tung (Nguyen Duc Thien), Houng Danh Ngoc, Le Van Duyet, Mai Xuan Hop, Nguyen Cong Huy, Phan Thanh Binh (Mai Tien Thanh).
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5112eAp42

© Utusan Melayu (M) Bhd