ARKIB : 27/12/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
pengalaman dan tahap
profesional yang dimiliki Norhafiz Zamani Misbah mampu membantu rakan sepasukan
untuk membawa kecemerlangan musim depan.
KUALA LUMPUR - Walaupun gagal
membawa Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki di Phuket,
jurulatih KL PLUS, Mat Zan Mat Aris tetap yakin dengan kemampuan pertahanannya
Norhafiz Zamani Misbah.
Menurutnya, pengalaman dan
tahap profesional yang dimiliki Norhafiz mampu untuk membantu rakan-rakan
seterusnya membawa kecemerlangan kepada pasukan.
''Dia (Norhafiz) seorang pemain
yang profesional saya tidak rasa kesan dari kegagalan skuad kebangsaan dalam
pada Kejohanan Piala AFF Suzuki akan mempengaruhi permainannya,'' katanya
ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, Norhafiz cepat
menyesuaikan diri bersama rakan-rakan yang lain walaupun baru turun menyertai
latihan selepas sibuk dengan persiapan skuad kebangsaan sebelum ini.
''Saya lihat Norhafiz memahami
corak latihan dengan cepat berikutan pengalaman yang dimilikinya bermain
bersama pasukan Negeri Sembilan, Pahang dan pasukan kebangsaan.
''Bagaimanapun tugasan ketua
pasukan setakat ini masih digalas pemain pertahanan, Mohd. Hairul Nizam
Haniff,'' kata Mat Zan.
Bekas pemain Kuala Lumpur itu
berkata, kehadiran Norhafiz tidak berjaya disertai oleh seorang lagi pemain
kebangsaan, Irwan Fadzli Idrus selepas pemain itu masih lagi bergelut dengan
masalah kecederaan.
''Irwan tidak akan beraksi pada
awal musim ini selepas mengalami kecederaan di bahagian buku lali ketika di
Piala Cabaran Grand Royal di Myanmar November lalu.
''Bagaimanapun tempatnya
mungkin akan diganti pemain lain seperti Mohd. Abdul Aziz Ismail atau Mohd.
Zaidi Ahmad,'' katanya.
Namun bekas jurulatih Kuala
Lumpur dan Terengganu itu berpuas hati dengan pasukannya selepas menyertai
beberapa kejohanan persahabatan di sini dan Terengganu baru-baru ini.
''Saya sudah mendapatkan pasukan
yang mantap secara kasar dengan mengharapkan sentuhan penyerang Amir Shahreen
Mubin bersama dan Wan Mohd Hoesne Wan Ibrahim merobek pertahanan lawan.
''Saya boleh menganggarkan kami
tidak mempunyai masalah di semua bahagian kerana mempunyai pemain yang
mencukupi termasuk pemain bawah 20 tahun,'' katanya.
Hari ini KL PLUS akan
mengadakan perlawanan persahabatan terakhir menentang pasukan baru dari Liga
Perdana, Sinar Dimaja Mai Sarah sebelum memulakan kempen musim 2009 menentang
Kelantan di Kota Bharu 3 Januari ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz51FM2Ok00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan