ARKIB : 09/08/2011
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Norhafiz Zamani Misbah (kiri) masih perlu
berhati-hati dengan keadaan lutut kirinya yang baru pulih.
PETALING JAYA Bek tengah berpengalaman, Norhafiz
Zamani Misbah masih perlu berhati-hati dengan keadaan lutut kirinya yang baru
pulih, ketika cuba mendapatkan tahap kecergasan sewajarnya bagi perlawanan bola
sepak antarabangsa.
Katanya, kesakitan yang datang sekali-sekala kesan
pembedahan daripada kecederaan ligamen depan (ACL) sehingga merehatkan dia
daripada aksi selama enam bulan lalu, turut belum menyakinkan dia untuk
memberikan prestasi 100 peratus di padang.
Ketika menentang Chelsea (mewakili Pilihan
Malaysia, persahabatan di Bukit Jalil, 21 Julai lalu), saya banyak berhati-hati
kerana kecederaan ACL memerlukan masa yang agak lama untuk pulih sepenuhnya.
Sekarang pun ada lagi sakit sedikit-sedikit.
Bagaimanapun setiap kali mendapat panggilan menyarung
jersi negara, ia tetap menjadi kebanggaan dan penghargaan dalam karier bola
sepak saya, katanya yang kurang memuaskan hati jurulatih negara, Datuk K.
Rajagobal ketika menentang Selangor dalam persahabatan, Sabtu lalu.
Kali terakhir pemain berusia 30 tahun itu mewakili
negara ialah pada Sukan Asia Guangzhou, November tahun lalu manakala dia hanya
dapat bermain sepenuh masa dalam kempen terakhir Liga Super Negeri Sembilan
menentang Perlis, bulan lalu.
Dia turut terlepas kempen Kelayakan Piala Dunia keempat
menentang Taiwan dan Singapura, baru-baru ini, selepas melakukannya pada 2001,
2004 dan 2007 masing-masing di bawah bimbingan jurulatih berbeza iaitu Alan
Harris, mendiang Bertalan Bicskei dan B. Sathianathan.
Walau siapa pun yang bermain (menentang
Singapura), masing-masing sudah berikan yang terbaik dan tidak semestinya
Malaysia dijamin menang kalau pun saya yang diletakkan di sana, katanya,
mengulas rungutan banyak pihak terhadap kerapuhan benteng Harimau Malaya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0809&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5faq2pJ2p
© Utusan Melayu (M) Bhd