ONG Kim Swee bersalam dengan pengurus Chelsea,
Andres Villas-Boas selepas sidang media kedua-dua pasukan di Petaling Jaya,
semalam.
ARKIB : 19/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.m
PETALING JAYA - Ong Kim Swee bakal mempertaruhkan
bekas orang besi skuad negara, Norhafiz Zamani Misbah sebagai ketua pasukan
bagi menghadapi Chelsea di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.
Walaupun sedar pemain pertahanan pasukan Negeri
Sembilan itu baru sahaja cergas selepas pulih daripada kecederaan Anterior
Cruciate Ligament atau ACL, jurulatih skuad Olimpik negara itu tidak gentar
mengambil risiko memilih Norhafiz sebagai ketua pasukan.
"Saya tahu Zamani baru pulih daripada
kecederaan, tetapi saya perlukan seorang pemain berpengalaman untuk membimbing
pemain muda dan senior dalam pasukan, terutama bahagian pertahanan.
"Mungkin ada orang bimbangkan tahap
kecergasannya, tetapi pada sesi latihan saya nampak dia semakin menunjukkan
peningkatan daripada segi prestasi dan kecergasan, " katanya sidang media
di sini, semalam.
Zamani bukan nama asing dalam skuad negara, malahan
dia merupakan antara pemain berpengalaman yang pernah menghadapi Chelsea
sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2003 dan 2008.
Pengendali dari Melaka itu menyenaraikan sembilan
pemain senior yang akan beraksi bersama skuad Harimau Muda di samping beberapa
pemain dari negeri lain bagi membentuk pasukan yang dipanggil 'Pilihan Malaysia'
ekoran skuad Harimau Malaya mahu memberikan fokus terhadap pertemuan penting
dengan Singapura, Sabtu ini.
Antara muka-muka lama yang memperoleh kepercayaan
Kim Swee selain Norhafiz Zamani ialah Farizal Marlias, Amri Yahyah, Hairuddin
Omar, Mohd. Daudsu Jamaluddin dan S. Subramaniam.
Selain itu, Kim Swee mengingatkan perlawanan dengan
Chelsea tidak akan menjadi ukuran penilaian dalam memilih pemain yang akan
memikul cabaran sepanjang pusingan Kelayakan Akhir Olimpik.
"Jika saya mahu memilih kesebelasan utama
dalam skuad Olimpik, lebih baik saya gunakan pemain Harimau Muda sahaja, tetapi
saya buat masa sekarang kehilangan tujuh pemain yang bersama skuad kebangsaan.
"Jadi, saya fikir lebih baik saya beri peluang
kepada pemain berpengalaman yang tidak terpilih mewakili skuad kebangsaan untuk
beraksi bersama skuad Harimau Muda bagi memberi keseimbangan dalam pasukan ini,
" katanya.
Kim Swee juga berkata, dia hanya akan menyenaraikan
20 atau 21 pemain untuk berdepan Chelsea namun berjanji akan memberikan peluang
kepada semua pemain beraksi.
"Semua pemain bakal mendapat peluang untuk
diturunkan dengan sekurang-kurangnya 30 minit dalam perlawanan Khamis
ini," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eZUTLgkR
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan