ARKIB : 24/01/2004
Oleh A. Jailani Abdullah
PEMAIN pertahanan, Norhafiz
Zamani Misbah memberi khabar gembira buat skuad bola sepak Bawah-23 negara
apabila dia disahkan akan kembali menjalani latihan bersama-sama rakan
sepasukan menjelang kelayakan bola sepak Sukan Olimpik Mac ini.
Pemain Negeri Sembilan itu, yang
sebelum ini mengalami retak tulang kaki ketika Sukan SEA 2003 di Vietnam,
sebelum ini dikatakan tidak akan dapat menyumbang khidmatnya akibat kecederaan
itu.
Dia mengalami kecederaan itu
ketika menentang Singapura di peringkat kumpulan. Pemain skuad kebangsaan itu
juga tidak bermain ketika Negeri Sembilan kalah 4-2 kepada MPPJ Selangor dalam
perlawanan sumbangsih minggu lepas.
Bagaimanapun, senarai nama-nama
pelatih Bawah-23 yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
semalam turut meletakkan nama Zamani.
Selain Zamani, seorang lagi
pemain skuad Rusa yang kembali ke dalam senarai ialah pemain tengah, Mohd.
Syaiful Sabtu, yang tercicir terus daripada skuad ke Sukan SEA akibat
kecederaan.
Kem latihan pusat ke kelayakan
Sukan Olimpik akan bermula pada 2 Februari ini di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Senarai pelatih kali ini,
walaupun bergantung harap kepada pemain-pemain Sukan SEA, namun jurulatih,
Allan Harris turut membariskan beberapa nama baru.
Jurulatih dari England itu turut
memanggil Mohd. Safee Sali dan Mohd. Zulkifli Affendi Zakri dari Kuala Lumpur
serta dua pemain Terengganu, Tengku Alias Tengku Ibrahim dan Tengku Mohd. Adam
Tengku Rosly serta M. Ravinthiran dari Perak.
Harris bagaimanapun menganggap
muka-muka baru dalam skuad Bawah-23 bukanlah pemain-pemain mentah.
``Saya tahu semua pemain yang
dipanggil orang baru itu sebenarnya bukanlah pemain mentah,'' kata Harris.
``Pemain-pemain itu sebenarnya
datang dari skuad Bawah-19 dan kami telah memutuskan untuk memberikan mereka
peluang bermain di peringkat ini,''
Pada kelayakan Olimpik, skuad
negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama Iran, Korea Selatan dan China.
Perlawanan pertama Malaysia ialah menentang Iran pada 3 Mac.
Asia diberikan tiga tempat pada
Sukan Olimpik Ogos ini di Athens.
Pusingan kelayakan zon Asia
dibahagikan kepada tiga peringkat. Malaysia mara ke peringkat akhir kelayakan
tanpa perlu menyepak bola setelah Turkmenistan menarik diri daripada perlawanan
pusingan kedua yang berlangsung tahun lepas.
Pusingan akhir, yang akan
menyaksikan persaingan antara 12 pasukan dalam tiga kumpulan, akan berlangsung
dari 3 Mac hingga 12 Mei dengan setiap kumpulan akan bermain secara liga.
Empat pasukan dalam setiap
kumpulan akan bermain secara timbal balas dengan juara kumpulan layak ke
Athens.
SENARAI PELATIH SKUAD BAWAH 23:
Mohd. Safee Sali, Mohd. Zulkifli
Affendi Mohd. Zakri (Kuala Lumpur); Akmal Rizal Rakhli, Rezuan Radzy, Muhammad
Al Hafiz Hamzah (Kedah); Mohammad Syaiful Sabtu, Norhafiz Zamani Misbah, K.
Rajan, Yosri Dermaraju (Negri Sembilan); Abdul Aziz Ismail (Pulau Pinang);
Irwan Fadli Idrus, Mohd. Fazli Shaari, Indra Putra Mahayuddin (Pahang); M.
Ravinthiran, R. Surendren (Perak), Ronny Harun (Sabah); Muhammad Faizal Abdul
Rashid, Mohd. Amri Yahyah, Rudie Ramli (Selangor); Mohd. Haris Safwan Kamal
(MPPJ Selangor); Mohd. Syamsuri Mustafa, Mohd. Mazuki Yusof, Mohd. Norhisham
Hassan, Tengku Alias Tengku Ibrahim, Tengku Adam Rosly (Terengganu).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dqzcZ9fM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan