ARKIB : 04/12/2003
SKUAD bola sepak Malaysia pada
Sukan SEA kali ini terpaksa membayar harga yang mahal di atas kemenangan
menewaskan Singapura 2-0 semalam apabila kehilangan khidmat ketua pasukan,
Norhafiz Zamani Misbah untuk menghadapi saingan separuh akhir, minggu depan di
Hanoi.
Norhafiz, 22, terpaksa melupakan
Sukan SEA apabila doktor di Hospital Vietnam di sini mengesahkan buku lalinya
patah dan terpaksa berehat tiga bulan selepas membuat pemeriksaan sebaik
perlawanan berakhir.
Ketika ditemui, Norhafiz
bagaimanapun menyerahkan keputusan muktamad mengenai kedudukannya kepada
jurulatih Allan Harris sama ada mahu menghantarnya pulang atau terus bersama
pasukan ke Hanoi.
``Sudah pasti saya kecewa dengan
kecederaaan yang dialami terutama saya terpaksa disingkirkan dengan cara
seperti ini.
``Saya lebih rela kalah daripada
menerima nasib seperti ini terutama selepas Malaysia berjaya layak ke separuh
akhir,'' ujarnya sekembalinya dari hospital.
Norhafiz mengalami kecederaan
selepas berlaga dengan pemain Singapura, Mohd. Nor Alam Kamarezaman pada minit
ke-33 sebelum dibawa keluar dan digantikan dengan Shahril Shariffuddin pada
minit ke-37.
Ketiadaan Norhafiz merupakan
berita buruk buat skuad negara kerana ia bakal menjejaskan bahagian pertahanan
yang sudah pun goyah dalam dua perlawanan sebelum ini.
Norhafiz yang merupakan antara
pemain paling berpengalaman dalam skuad Allan Harris diberi tanggungjawab buat
kali pertama sebagai ketua pasukan pada Sukan SEA kali ini.
Ketiadaannya bakal menyaksikan
kemungkinan Akmal Rizal Rakhli akan memikul tanggungjawab itu pada peringkat
separuh akhir nanti.
Sementara, Allan mengesahkan dua
pemain utamanya cedera dan akan direhatkan apabila berdepan Myanmar pada 6
Disember ini.
Selain Norhafiz, Irwan Fadli
Idrus turut mengalami kecederaan di buku lali tetapi tidak begitu serius
berbanding Norhafiz. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4diVKxLUH©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan